Latest News

SEJARAH


Sekolah ini telah ditubuhkan pada 16 Januari 1967 dengan nama Sekolah Rendah Kebangsaan Salak South (S.R.K Salak South). Disebabkan tidak mempunyai bangunan sendiri, sekolah ini hanya menumpang menggunakan S.R.J.K (c) Salak South Baru sesi petang. Bangunan yang ditumpangi itu pula hanya sebuah bangunan satu tingkat beratap zink yang telah dibina pada sekitar tahun-tahun lima puluhan.

Kakitangan sekolah pada ketika itu hanyalah terdiri daripada seorang guru besar, lima orang guru dan seorang kerani. Manakala bilangan murid yang berdaftar pada ketika itu adalah seramai 182 orang yang diletakkan ke dalam empat buah kelas Darjah 1. Kebanyakan murid tinggal di sekitar kawasan Salak South Baru di mana latar belakang penduduk adalah terdiri daripada kaum buruh.

S.R.K Salak South hanya mempunyai tapak dan bangunan kawasan bukit di Taman Salak South. Dengan Keluasan 5.376 ekar, premis sekolah ini terletak pada jarak 11 km dari Kuala Lumpur. Binaanya pula terdiri daripada tiga buah blok bangunan batu berbumbung asbestos yang dinamakan Blok A,B dan C serta sebuah bangunan kantin.

Bilangan murid-murid yang belajar di sekolah ini terus bertambah tahun demi tahun sehingga sekolah ini perlu dijalankan melalui dua sesi di bawah satu pentadbiran. Dengan bilangan murid-murid yang terus meningkat, sebuah lagi blok bangunan satu tingkat telah dibina menjelang penghujung tahun 1983. Bangunan yang bertaraf sementera itu telah dibina dalam satu program Rancangan Kilat yang menyediakan 6 buah lagi bilik darjah.

Pada tahun 1997, bangunan tambahan tersebut telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah lagi bangunan baru empat tingkat yang mengandungi 15 buah bilik darjah. Bangunan ini mula digunakan sepenuhnya pada bulan Januari tahun 1999.



Di antara kelengkapan-kelengkapan semasa yang terdapat di sekolah ini termasuklah sebuah Bilik Komputer, Pusat Sumber, Klinik Gigi, Kedai buku dan surau.
Pada tahun 2008 sebuah lagi bangunan baru dua blok telah dibina di bahagian padang sekolah. Blok baru itu adalah terdiri daripada 12 buah bilik darjah, sebuah bilik guru, pejabat pentadbiran, Makmal Sains, Pusat Sumber, Bilik Kesihatan, Bilik Kemahiran Hidup, Pra Sekolah, Bilik J-Qaf, Bilik Kaunseling dan lain-lain. Sebuah Padang yang sederhana besar juga telah disediakan di bahagian hadapan sekolah.

Pada awal 2009, perpindahan ke bangunan baru telah dijalankan. Dengan perpindahan tersebut dapatlah warga S.K Salak South belajar dalam keadaan yang lebih selesa dan sempurna 

Scroll to Top